Pages

Sunday, May 10, 2009

Erti Kepimpinan dan Peranan Pemimpin Muda

Kepimpinan bukanlah satu aksesori yang boleh diada-adakan untuk melengkapkan pakej seseorang yang ingin bergelar ketua. Kualiti dan sifat ini lahir sama ada secara semula jadi mahupun melalui iltizam yang tinggi dalam membentukknya. Satu perkara yang pasti, memiliki ciri-ciri unggul seorang pemimpin berwibawa tidak semudah meneguk air. Joseph A. Kechician dan R. Hrair Dekmejian dalam buku mereka The Just Prince, yang merupakan terjemahan dan ulasan Sulwan al-Muta’ Fi ‘Udwan al-Atba’, karya Muhammad ibn Zafar al-Siqilli, mendedahkan terdapat sekurang-kurangnya lima prinsip utama yang harus mencorakkan keperibadian dan perwatakan seorang pemimpin. Jesteru, penulisan ini akan mengupas jujukan ciri-ciri yang membentuk kepimpinan cemerlang serta peranan yang perlu dimainkan oleh golongan muda hari ini sebagai persediaan menjadi pelapis peneraju negara masa hadapan.



Pertama, kepercayaan kepada Tuhan. Prinsip ini merupakan satu kualiti penting yang akan membuka ruang kepada percambahan kualiti kepimpinan yang lain. Kepentingan memiliki ciri ini adalah, seseorang pemimpin akan menjalankan tanggungjawab dan tugasnya sebaik mungkin. Tanpa sebarang perasaan bimbang terhadap ugutan dan musibah ciptaan manusia. Ketika zamannya, Ibn Taymiyya merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam kelancaran dan kejayaan pentadbiran Syria dan Mesir. Beliau acapkali mengingatkan pemimpin bahawa ‘ketua’ yang sebenar adalah Allah S.W.T. Al-Diwani, dalam karyanya Akhlaq-i Jalili, menekankan bahawa pemimpin haruslah mempunyai ciri sebagai Khalifah Allah yang bertaqwa di samping memahami hakikat betapa pemimpin boleh diibaratkan sebagai pemangku Nabi kepada rakyatnya. Pandangan ini membuktikan dengan jelas betapa pemimpin yang baik perlu mempunyai kepercayaan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T. dan bersedia untuk menjadi agen penyubur keadilan sosial dalam masyarakatnya.


Kedua, pemimpin haruslah mengutamakan pembangunan dan kebajikan masyarakat melebihi kepentingan diri dan bersikap zuhud. Pemimpin adalah hamba nombor satu negara. Kenyataan ini terlalu benar dan besar maknanya. Pemimpin dalam erti kata sebenar haruslah sentiasa mengangkat kemaslahatan rakyat pada tahap tertinggi. Atau setidak-tidaknya, melebihi kepentingan peribadinya. Tim Harford, dalam The Undecover Economist, telah membincangkan dengan terperinci faktor-faktor yang mengekalkan Cameroon dalam kelompok negara termiskin di dunia. Mungkin ramai yang tidak percaya bahawa punca utama Cameroon gagal membangun adalah disebabkan oleh keputusan pemimpinnya yang mahukan negara tersebut kekal mundur!
Dakwaan ini boleh dibuktikan dengan menganalisis beberapa fakta penting. Misalnya, bermula seawal November 1982, sepanjang sembilan belas tahun pentadbiran Presiden Paul Biya, boleh dikatakan hampir tiada langsung pelan pembangunan terancang dilakukan. Bagi mengelakkan kunjungan pelancong asing, Kementerian Pelancongan Cameroon dengan sengaja menggunakan jolokan ”Ketiak Afrika” bagi mematikan minat dan perhatian masyarakat luar terhadap negaranya terutamanya bandar Douala. Kemasukkan pelaburan terus asing (FDI) hampir berada pada tahap sifar lantaran laporan Transperancy International (TI), yang meletakkan negara tersebut di tangga sepuluh terbawah sekaligus menjadikannya sebagai negara yang mempunyai tahap korupsi dan jenayah integriti yang meruncing.



Ferdinand Marcos dan Joseph Estrada pula merupakan nama-nama besar dalam sejarah Filipina. Bukan kerana mereka adalah mantan presiden. Akan tetapi, merekalah ikon popular pemimpin yang dikaitkan dengan skandal rasuah dan pengelewengan kuasa terbesar. Ironinya, tatkala pemimpin tertinggi negara ligat mengaut sebahagian besar harta negara, sebahagian besar rakyat masih dibelenggu krisis kemiskinan tegar yang begitu mengaibkan. Buktinya, pada awal 1990an, tapak pelupusan sampah utama di bandar Manila, Smokey Mountain, yang menjadi tumpuan golongan miskin, ditutup kerana dilihat sebagai simbol kepapaan rakyat Filipina. Namun tapak-tapak pelupusan sampah yang lain terus menerima kunjungan setia golongan penduduk berpendapatan kurang daripada USD3 sehari. Lebih menyayat hati, dilaporkan sekurang-kurang seratus tiga puluh orang pengemis terbunuh dalam runtuhan di tapak pelupusan Payatas, Manila pada Julai 2000.



Situasi ini menggambarkan dengan jelas musibah yang bakal menimpa rakyat sekiranya, golongan yang diberi kepercayaan menerajui kepimpinan negara, rakus memenuhkan kantung haloba sendiri tanpa memikirkan masa depan negara. Maka jelaslah, kepimpinan turut bererti, kesanggupan meletakkan kepentingan dan kemaslahatan pengikut melebihi kepentingan sendiri. Nescaya, sikap dan pendirian ini akan melindungi kebajikan rakyat. Malah akan turut meningkatkan kelancaran pengurusan sesuatu organisasi dan agensi kerajaan. Untuk membentuk sifat prihatin terhadap kemaslahatan masyarakat, golongan belia perlu didedahkan mengenainya seawal mungkin.


Ketiga, seorang pemimpin perlulah berpandangan jauh, berpemikiran strategik dan berani mengambil risiko. Sesungguhnya faktor yang menjadikan Albert Enstein saintis berjaya adalah keupayaannya untuk berfikir melangkaui zamannya. Namun yang bulat tak akan datang bergolek, yang pipih tak akan datang melayang. Pemikiran strategik bukan mukjizat dari langit. Sebaliknya satu kemahiran yang perlu diasah berterusan. Jesteru, ciri ini berkait rapat dengan ciri keempat, iaitu kesabaran dan kental menghadapi kegagalan.


Sejarah silam merakamkan dengan jelas contoh-contoh belia zaman silam yang memiliki keupayaan memimpin, jauh melangkaui zaman dan usia sebenar mereka. Usamah bin Zaid pernah memimpin tentera Islam berjuang membebaskan Palestin ketika usianya baru mencecah 17 tahun. Malah, ketika baru berusia lapan belas tahun, ketokohan dan daya kepimpinan Muhd Al-Fatih, Putera Raja Murad II telah menyebabkan beliau tampil dengan strategi perang yang menarik dan tidak dijangka musuh. Sehinggakan mampu menawan kota Constantinopal yang telah dikuasai oleh Empayar Rom sejak lapan ratus tahun sebelumnya.



Manakala pemikiran berwawasan dan keupayaan untuk merancang yang tinggi telah mendorong Tzar Peter the Great (1867-1912), pengasas revolusi Rusia, untuk mencadangkan perubahan bandar utama kerajaan Rusia ke St. Peterburg, yang dahulunya dikenali sebagai Petrograd dan Leningrad, juga berakhir dengan sebuah kejayaan. Tanggal 1919, menjadi saksi keberanian dan kesabaran Mohandas Karamchand Gandhi (1869-1948), yang lebih dikenali sebagai Mahatma Gandhi, yang mengambil risiko menganjurkan mogok lapar besar-besaran secara terancang rentetan daripada tindakan tidak berperikemanusiaan General Reginald Dyer yang menembak mati sekurang-kurangnya tiga ratus sembilan puluh orang awam di Lembah Jalianwala Bagh, Amritsar, yang berhimpun sebagai tanda menentang penggubalan Rowlett Act oleh kerajaan British. Demonstrasi secara aman tersebut telah memberikan tamparan hebat kepada kerajaan British sekaligus memaksa sang penjajah untuk memberikan kemerdekaan kepada India.



Malaysia tidak kurang hebatnya, kita pernah bertungkus lumus menyelamatkan negara yang menerima kesan buruk kegawatan ekonomi akhir 1997. Ketika negara ibarat telur di hujung tanduk, keupayaan kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir Muhammad mengambil risiko dan mencipta formula sendiri dengan melakukan tambatan matawang berpilih telah menyelamatkan kita dari termakan muslihat beracun Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).



Lantas kita bisa merumuskan, bahawa kepimpinan turut membawa konotasi, kebijaksanaan mencatur strategi dan kekentalan dalam mempertahan kemandirian negara menghadapi pancaroba. Apa yang jauh lebih penting, untuk mencapai perkara ini, belia selaku pewaris kedaulatan negara, perlu diterapkan dengan kepercayaan untuk selalu bertindak matang, bebas dan memiliki jati diri dan patriotisme yang mantap.



Kelima, pemimpin harus mempunyai penasihat yang berani, adil dan berperibadi tinggi. Kata orang, malu bertanya sesat di jalan. Maknanya, pemimpin yang berkesan memerlukan penasihat yang adil dan berperibadi tinggi. Bukannya sekadar dikeremuni oleh sekelompok pengikut yang dibelenggu konflik kepentingan dan cenderung untuk mengiyakan apa-apa sahaja yang dilakukannya. Risikonya, setiap keakuran dan kepatuhan yang dipamerkan oleh para pengikut tidak semestinya didasari oleh keperluan sebenar. Sebaliknya, sekadar satu manifestasi ketaatan membuta tuli demi menutup kelemahan seorang pemimpin yang akhirnya disantuni dan dituruti dengan penuh kepalsuan. Walaupun termaktub dalam kitab suci Al-Quran bahawa Rasulullah S.A.W. adalah pemimpin terpilih, Baginda tidak pernah menganggap dirinya sempurna apatah lagi menolak mentah-mentah segala cadangan yang diberikan kepadanya. Malah, dalam kebanyakkan hal, Bagindalah yang sentiasa membuka ruang kepada para sahabat melontarkan buah fikiran dan nasihat yang boleh menambahbaik kepimpinannya.



Selepas kewafatan Baginda, tradisi pemimpin melantik penasihat yang adil, berani dan berperibadi murni ini terus menjadi amalan. Fenomena ini wujud dalam hampir semua peradaban. Di Barat misalnya, Niccolo Machiavelli pernah memberi nasihat kepada pemimpin menerusi karya agungnya The Prince. Sun Tzu pula mempemarkan buah fikirannya untuk pertimbangan Maharaja China dalam The art of War. Walaupun Statesman, Laws and Republic bukannlah karya yang memberikan nasihat secara langsung kepada pemerintah Greek, Plato bertindak nekad merantau ke Sicily semata-mata ingin menjadi mentor dalam mengasah karisma Raja Dionysius II. Manakala Arthasatra, nukilan Kautilya, seorang penulis berkasta Brahmin yang merupakan Ketua Menteri kepada Raja Chandragupta (321-296 SM), pengasas Empayar Mauriya, tidak ketinggalan menjadi tamsilan ampuh karya berunsur nasihat kepada pemerintah.



Contoh yang sama dipamerkan oleh Cardinal Richelieu (1585-1642). Beliau memilih untuk menegur kelemahan Raja Perancis dalam membuat keputusanmenerusi huraian lengkap bab Le Conseil du Prince, yang dimuatkan dalam karyanya, Testament Politique. Dalam konteks sejarah Islam, senario yang sama berlaku. Safi al-Din Muhammad Ibn ‘Ali Ibn Tabataba yang dikenali dengan sebagai Ibn Tiqtaqa, menulis buku berjudul Al-Fakhri sebagai panduan kepada Fakhr al-Din ‘Isa ibn Ibrahim yang merupakan pemerintah bandar al-Hilla, Iraq pada ketika itu.



Untuk melihat kebobrokan pemimpin yang enggan menerima teguran, kita tidak perlu pergi jauh. Lihat sahaja malapetaka yang menimpa negara China akibat sikap para pegawai Presiden Mao, yang bukan sahaja tidak berani bersuara, malah sentiasa menghamburkan pujian berlebihan terhadap tindakannya memperkenalkan Revolusi Budaya dan dasar Great Leap Forward. Kepura-puraan dan sikap terlalu ingin menjaga hati pemimpin telah menggagalkan kedua-dua dasar tersebut dan mengorbankan sekurang-kurang tiga puluh juta rakyat China.



Ringkasnya, kesemua fakta ini relevan dalam dua konteks. Pertama, kepemimpinan bererti kesediaan untuk bersikap terbuka terhadap nasihat, kritikan dan teguran serta memiliki penasihat yang berani. Kedua, adalah menjadi peranan golongan belia untuk menjadi agen timbang tara terhadap pemimpin yang tersasar dan perlu sentiasa lantang bersuara menegakkan yang hak dan mencegah yang batil. Bak kata pepatah melayu, raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah. Jesteru dalam konteks Malaysia, tindakan memasukkan klausa dua dalam perkara 181, Perlembagaan Persekutuan, yang memansuhkan kekebalan Raja dan pemerintah Melayu di sisi undang-undang, merupakan satu tindakan yang wajar dalam konteks kepimpinan yang adil dan berkesan.



Pesan hukamak, jika ingin melihat pemimpin masa hadapan sesuatu bangsa, lihatlah belia hari ini. Sesungguhnya, tiada guna jika kita lantang membahaskan pengertian kepimpinan tanpa mengaitkannya dengan tahap penghayatan oleh golongan belia. Perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan melaporkan golongan belia di Malaysia dijangka meningkat pada purata 1.1 peratus setahun, daripada 11.1 juta pada 2005 kepada 11.65 juta menjelang 2010. Manakala, Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang dibentangkan pada Mac 2006 telah memperuntukkan kira-kira RM5.3 bilion untuk program pembangunan belia serta bagi mengasah bakat mereka sebagai pemimpin. Perkara ini begitu genting memandangkan hari ini kita berhadapan dengan cabaran globalisasi yang melanda begitu pantas dalam benuk yang sentiasa berubah-ubah. Kita pasti akan dihidangkan satu dimensi yang menakutkan, sekiranya kita menelaah apa yang ditulis oleh Thomas L. Friedman dalam The Nexus and The Olive Tree serta versi terbaru The World is Flat.



Menurutnya, kecanggihan teknologi internet yang beroperasi hasil penciptaan protokol digital seperti XML (extensible markup language) dan SOAP (simple object access protokol) telah secara tidak langsung membuka ruang kepada penularan hedonisme dan ektremisme dengan kadar yang lebih pantas daripada yang pernah kita jangkakan. Dan Tapsott, dalam Growing Up Digital: The Rise of Baby Boom, menceritakan gelombang teknologi maklumat menyebabkan kebanyakan golongan belia di Eropah dihimpit kecanduan hiburan dunia maya. Jelaslah, gelombang globalisasi mampu menghayutkan golongan belia daripada menghayati peranan dan tanggungjawab mereka terhadap diri dan masyarakat. Natijahnya, negara akan terkapai-kapai untuk mencari pelapis peneraju tampuk kepimpinan negara yang berkualiti dan berwibawa.


Maka, sebagai kesimpulannya, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi pertimbangan serius. Misalnya, saranan yang dikemukakan oleh mantan Menteri Belia dan Sukan Malaysia bahawa belia perlukan satu pertubuhan yang diterajui oleh mereka sendiri demi merekayasa kemampuan memimpin. Jesteru, penggubalan Akta Pembangunan dan Pertubuhan Belia 2007 boleh disifatkan sebagai satu langkah matang, bersesuaian dengan tuntutan semasa.


Selain itu, kita juga boleh menubuhkan Akademi Kepimpinan Negara yang boleh mengambil model Institut Aspen di Amerika Syarikat. Pakar pengurusan dan kepimpinan terkenal, Dr. Keninth Blanchard, menyarankan kewujudan profesor dalam aspek kepimpinan di institut pengajian tinggi awam berupaya meningkatkan daya kepimpinana golongan belia.. Perkara sebegini telah lama dipraktikkan di barat. Contohnya pengambilan Warren Bennis di University of Southern California dan John Kotter di Harvard Business School yang berfungsi memberi nasihat dalam aspek belia dan kepemimpinan. Satu perkara yang pasti, biarpun seribu cadangan dan resolusi disuarakan, kesemuanya hanya akan mampu dicapai dengan adanya iltizam politik yang tinggi. Ingatlah, pemimpin dan kepimpinan adalah satu amanah! Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjwab ke atas orang di bawah pimpinannya”

5 comments:

KC Lee said...

nice! congratz!

Fitri Ezwan said...

salaam

tahniah!

Mahirah M said...

thank you :)

nazrin said...

*standing ovation*
rugi kalau tak masuk newspaper.
:P

anamunawwarah said...

salaam

dear,proud of u=)
tq for the ilm