Pages

Monday, June 16, 2008

Malaysia: a confused state

"10 Prinsip Islam Hadhari"

megah bunyinya lebih-lebih lagi apabila dilaungkan si pemimpin yang niatnya sebagaimana diutus, adalah untuk mengangkat tanahair sebagai sebuah negara Islam terbilang. bagus. hati kecil anak bangsa Melayu ini menari-nari diiringi rentak bangga, melihat agama tercinta kian diperkasa. namun menjadi diri sendiri yang sentiasa berfikir kerana dahagakan kebenaran, maka kotak fikiran pun mulalah berputar, mencari jawapan kepada suatu persoalan yang masih tiada penghujungnya.

"Benarkah Malaysia sebuah negara Islam?"

Maaf sekiranya apa yang bakal dicoret di bawah nanti, bisa bikin saudara mahupun saudari yang membaca sedikit panas. Ini hanyalah nukilan ikhlas seorang anak muda yang mencari jawapan.

Bukan ingin menunding jari, namun sekadar mencari kebenaran yang hakiki, agar yang lemah dapat diperbaiki.

Jika ditanya kepada mereka di atas dalam kalangan penjulang keris Melayu dan kumpulan merah putih, pasti jawapannya senantiasa "YA". Almaklumlah. Namanya MALAYsia. Negara Melayulah katakan. "Melayu", sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan (PP), merujuk kepada mereka yang beragama Islam. Tanah ini milik kita katanya (walaupun perangkaan pemilikan ekuiti ekonomi menunjukkan sebaliknya). Maka sensitiviti anak jati bangsa Melayu perlu dijaga selalu. Takut-takut wujud lagi persengketaan dan demonstrasi jalanan yang hanya melenguhkan FRU dan merunsingkan lagi mereka di atas, yang sudah sedia pusing kepalanya dek kerana semakin kuat digoncang tangan rakyat.

Tanggal 07.07.2007 telah menyaksikan ada mereka dalam kalangan kita anak Malaysia yang gelisah bak cacing kepanasan apabila Timbalan Perdana Menteri mengatakan dalam ucapannya, "Malaysia is an Islamic State". Lim Kit Siang yang menggelarkan insiden ini sebagai 'deklarasi 707' terus memberi respon panjang lebar dalam blognya, mempersoal kenyataan Najib ini. Katanya Kontrak Sosial tidak dihormati dan PP telah dicabul kerana tidak pernah tersebut pun Malaysia adalah sebuah negara Islam.

Benar. Lumrah seorang penuntut undang-undang, saya tidak lari dari tuntutan untuk memakan, mengunyah dan menelan kandungan PP. Apa yang dinyatakan dalam Article 3 Perlembagaan Persekutuan ialah "Islam adalah agama rasmi Persekutuan".

Islam sebagai agama rasmi vs 'negara Islam'. Apakah perbezaannya?

Bagi membezakan kedua-dua perkara ini. persoalan yang perlu dijawab adalah 'Adakah Malaysia sebuah negara Islam dalam erti kata sebenar?'. Mari kita menilai bersama-sama, dan melakukan timbang tara, adakah negara kita yang dicintai ini, memenuhi ciri-ciri negara Islam merujuk kepada Madinah sebagai model.
Ciri-ciri negara Islam sebagaimana yang dipersutujui oleh para ulama' adalah 'Sovereignity of Allah', 'Ideological','Universal','Unitary','Welfare' dan 'Shuratic'. Sebuah negara Islam sewajarnya menjunjung kedaulatan Allah S.W.T dan melaksanakan undang-undangNYA. Syariat Islam perlu dijadikan ideologi kerana tugas seorang khalifah mahupun pemimpin adalah untuk memelihara dan menyebar agama Islam yang tercinta. Islam adalah agama untuk semua, tidak mengira latar belakang mahupun warna kulit. Maka ideologi perkauman adalah bercanggah sama sekali dengan konsep sebuah negara Islam. Kuasa untuk menggubal undang-undang diletakkan dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan dan akan dituruti oleh kerajaan negeri. Sebuah negara Islam harus melaksanakan konsep 'welfare state' dengan menyediakan kemudahan asas seperti air, elektrik adan pendidikan secara percuma kepada rakyat. Sistem politiknya pula haruslah menggunakan sistem Shura.
Namun di bumi Malaysia kedaulatan itu dipegang oleh seorang manusia. Sistem demokrasi memberi kuasa pada tangan rakyat. Ideologi yang dipegang oleh negara kita saya kira sampai saat ini belum jelas. Kes murtad saban tahun semakin meningkat. Kuasa yang diberikan kepada Mahkamah Shariah melalui Article 121 pun nampaknya tidak dapat membendung perkara ini lagi. Pelaksaan undang-undang tidak seragam kerana kuasa untuk menggubal undang-undang turut diberikan kepada kerajaan negeri. Hal ehwal berkaitan dengan agama Islam diletakkan dalam Senarai Negeri dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan. Akibatnya tiada undang-undang seragam. Welfare state? Jauh sekali. Malah rakyat terus dibebani dengan cukai, kenaikan harga barang dan sebagainya. Demokrasi pula dijadikan platform untuk memerintah.
Saya tidak akan menghurai dan mencantas satu persatu ciri-ciri ini dengan lebih lanjut kerana saya percaya akan kebolehan kalian menilai. Jika anda seorang yang teliti dan peka, anda tahu hakikatnya. Rantaian hubungan antara negara Malaysia dan ciri-ciri yang sepatutnya dimiliki oleh sebuah negara Islam memang sedia terputus. Adalah tanggungjawab kita untuk menyambungnya. Jangan hanya cakap berdegar-degar, cuba untuk mewujudkan ilusi dan hidup dibayangi sebuah penafian. Sebuah hakikat, walaupun pahit harus ditelan.

2 comments:

SuNiLsHaNaZ said...

Cool article. Evergreen writing skills from u.
Welcome back, Putri Mahirah =)

nazrin said...

owh,by my prevailing weakness for being absolute ignorant and stuffs,
the islamic state meant by NTR that time was it in context of the countries yg join owh-why-see?
in that sense ade la kan?
in the whole sense..hmmm...